BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, 4 February 2012

WASIAT TERAKHIR RASULULLAH : CINTANYA RASULLULLAH KEPADA UMATNYA

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Maka sempena Maulidur Rasul ini, mari kita sama-sama menasihati, dan berpesan sesama saudara seislam. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat mencintai umatnya, bahkan sehingga ke akhir hayat baginda, baginda masih menyebut "UMMATI..UMMATI..UMMATI.." Maka wajarkah kita sebagai umat baginda melupakan baginda?

Ketahuilah umat Muhammad sekalian, di akhirat nanti, Nabi Muhammad SAW sesungguhnya telah menyimpan doa mustajab untuk umatnya, yang akan memberikan syafaat kepada umatnya nanti. Dan apabila umat Muhammad yang masih bersisa di neraka jahannam nanti, maka Baginda Rasulullah akan datang lalu berdoa kepada Allah  “Ya Allah, izinkan aku memberi syafa’at kepada mereka itu walaupun mereka hanya punya iman sebesar zarrah."
Sesampainya Rasulullah s.a.w. di neraka Jahanam, padamlah api neraka yang begitu dahsyat itu. Penduduk Jahanam pun berucap, “Apa yang terjadi, mengapa api Jahanam ini tiba-tiba padam? Siapakah yang datang lagi?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Aku Muhammad s.a.w. yang datang, siapa di antara kalian yang jadi umatku dan punya iman sebesar zarrah, aku datang untuk mengeluarkannya.”

Begitu besarnya rasa kasih dan sayang baginda terhadap umatnya. :) Oleh itu, mari perbanyakkan selawat ke atas baginda Rasulullah SAW,  sebagai tanda kita mencintai baginda :')


4 comments:

AzwanRamli said...

Nice sharing....Salam maulidur Rasul.

NasYaMuLLaH said...

nice sharing...go on blogwalking

syafieka said...

salam maulidur rasul juga :) syukran

Fi Sabilillah said...

Bismillahirahmanhirahim....

Assalammualaikum Yaa Saudari ... Moga saudari menjadi Wanita Syurga kelakk dii Akhiratt dan di kurniakan Syurga Tnpa Isabb ...

Mohon kongsi Info ini... Hanya Allah [ SWT ] sebaik-baik memberi balasan pahala pada saudari :)

Amin Ya Allah [ SWT ]